Assalamualaikum w.r.b,,,,, Good Day,,,,,,

Selamat Datang ke Blog Kami

Thursday 16 February 2012



MESYUARAT AGUNG PIBG
KALI KE - 10

SESI 2012 / 2013


              TARIKH        :      31 MAC 2012 (SABTU)
              MASA           :      8.00 PAGI
              TEMPAT       :      DEWAN UNGKU AZIZ

              PERASMI      :      YB DATO' YUNUS BIN RAHMAT


Tentatif 

8.00   pagi                      Pendaftaran Ibu bapa / Penjaga  
                                            Tayangan Slide SMK S2
                                             Orkestra
                                             Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 10

                                              Ketibaan VVIP                                                                                                             
                                            Lagu Negaraku

                                            Persembahan Pelajar - Tarian
                                            Bacaan Doa
                                            Ucapan Pengetua Cemerlang SMK Seremban 2

                                             Ucapan Perasmian VVIP                                                      
                                            Majlis Penyampaian Hadiah

                                               i) Pelajar-pelajar Cemerlang PMR 2011

                                               ii) Pelajar-pelajar Cemerlang SPM 2011

                                               iii) Panitia Cemerlang PMR 2011

                                               iv) Panitia Cemerlang SPM 2011
                                               vi) Cenderahati AJK PIBG Sesi 2012 / 2013 

12.30  t/hari                          Jamuan dan Bersurai 

Saturday 11 February 2012


TAJUK : Peranan   PIBG  dalam  institusi pendidikan
1.0  Pendahuluan. 
Pada masa ini Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah diwujudkan di tiap-tiap sekolah di Malaysia.  PIBG ini dianggotai oleh guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak di sekolah berkenaan.  Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada pihak penjaga sebagai sumber menggerakkan persatuan.  Mesyuarat Agung PIBG diadakan sekali setahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasanya.  Pengerusi PIBG selalunya dilantik di kalangan ibu bapa sementara pengetua atau guru besar bertindak sebagai penasihat dan seorang guru bertindak sebagai setiausaha.
 
 Sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah.  Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif.  Persoalan yang selalu dibangkitkan ialah mengapakah terdapat banyak PIBG yang tidak bergerak cergas dalam menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah sedangkan PIBG dapat memberikan sumbangan-sumbangan yang besar dan menjadi tunjang terhadap kemajuan sesebuah sekolah.  Sebagai contoh PIBG dapat membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar, dapat membantu dalam kerja-kerja amal dan dapat membantu mencari sumber kewangan bagi pihak sekolah.  Untuk menjawab persoalan ini, sebagaimana peranan pengetua dalam komuniti, pemimpin sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk mengaktifkan PIBG.  Pengetua yang berkesan akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah.
 
 Di samping faktor kepimpinan pengetua, adalah penting bagi PIBG mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program sekolah.  Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang pelbagai strategi untuk menentukan kejayaan sekolah.  PIBG misalnya tidak hanya melibatkan mereka yang mempunyai anak yang bersekolah untuk aktiviti-aktivitinya.  PIBG sepatutnya melibatkan juga ahli-ahli komuniti yang bukan terdiri daripada ibubapa untuk bergiat dalam membantu program PIBG.  Terdapat ramai ahli-ahli komuniti yang terdiri daripada mereka yang tiada anak, anak sudah tamat sekolah atau yang masih bujang yang mungkin berminat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan.  Oleh itu terpulanglah kepada kepimpinan PIBG menjalankan fungsi dan peranan masing-masing selaras dengan kedudukan mereka dalam persatuan.
2.0  Definasi. 
 Dalam banyak hal PIBG boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah sekolah.  Seperti yang kita sedia maklum PIBG merupakan akronim bagi Persatuan Ibu bapa dan Guru. PIBG secara keseluruhannya telah dinyatakan seperti di atas.  Tunjang pula menurut kamus Dewan ialah akar di atas tanah yang menopang batang pohon supaya tegak seperti yang terdapat pada pokok bakau dan lain-lain lagi. Kemajuan berasal dari kata dasar maju yang bermakna bergerak ke muka, mara, melangkah ke hadapan. Kemajuan bermakna perihal maju seperti taraf hidup dan lain-lain.  Sesebuah bermaksud penjodoh bilangan untuk bilangan sesuatu benda di mana bentuk atau jenisnya tidak tentu. Sekolah pula ialah tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran.
 
 Secara keseluruhan PIBG tunjang kemajuan sesebuah sekolah bermaksud PIBG menyokong dan membantu membina kemajuan di sesebuah sekolah agar matlamat Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisasikan.  Usaha ini memerlukan komitmen semua pihak bermula dari guru besar atau pengetua, ibu bapa, guru-guru, masyarakat sekitar dan pelajar. Kita telah sedar bahawa PIBG adalah salah satu pertubuhan di dalam sekolah yang boleh memainkan peranan besar terhadap meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid mereka.  Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah yang berkenaan. 
 
 Menurut Kamarudin Hj. Kachar (1989) pendidikan tidak dapat dan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat. Pendidikan perlu dirancang dan dilaksanakan prosesnya dalam konteks masyarakat.  Tujuannya supaya pendidikan ada kaitan rapat dengan masyarakat. Selain daripada tujuan sedemikian, pelajar-pelajar dapat memahami masyarakat, hidup berasaskan kepada nilai-nilai dan unsur-unsur kebudayaan masyarakat, dan supaya ibu bapa serta orang lain  memahami dan menghayati keadaan, matlamat dan masalah institusi pendidikan.  Pelajar-pelajar datangnya daripada masyarakat.  Mereka diasuh, dididik dan dilatih oleh institusi pendidikan untuk keperluan masyarakat.  Dengan demikian memang wajar institusi pendidikan mendapat bantuan bukan sahaja kewangan, tetapi bantuan dan asuhan moral daripada masyarakat.
 
 
3.0  Peranan PIBG. 
PIBG semestinya memegang amanah sebagai persatuan yang berjuang dan memperjuangkan kebajikan ahlinya sekaligus mendasarkannya kepada kepentingan pelajar dan murid.  Ini bermakna PIBG terutama pemimpinnya  tentulah tidak wajar menjadikan persatuan sebagai batu loncatan untuk kepentingan peribadi sama  ada yang berkecenderungan politik, ekonomi atau kepentingan peribadi.
 
Secara tidak langsung juga, Persatuan tidak wajar bergerak atau menjadi gerakan yang bersifat politik berparti atau mempunyai kecenderungan menyokong sebarang parti politik kerana matlamat utamanya hanyalah memperjuangkan kebajikan ahli, serentak dengan usaha menyokong sebarang dasar pendidikan yang menjamin dan mengutamakan kepentingan pelajar, murid, ibu bapa dan negara seluruhnya.
3.1  Peranan Sebagai Penjaga. 
 Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam menyerlahkan prestasi anak-anak ialah sebagai penjaga. Ibu bapa seharusnya menjadi penjaga yang bertanggungjawab.  Ini bererti segala keperluan asas seharusnya dipenuhi mengikut kemampuan dan kesesuaian. Sebagai penjaga, ibu bapa juga seharusnya bertanggungjawab terhadap perkembangan fizikal dan mental anak. 
 
 Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai pengawas tingkah laku anak.  Ibu bapa perlu mengambil berat setiap tindak tanduk anak-anak untuk menjamin masa depan mereka. Jika perkara ini tidak diberi perhatian yang serius sejak dari awal,  cita-cita ibu bapa untuk menjadikan anaknya cemerlang mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja.  Bak kata pepatah, ‘kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
 
 Selain daripada itu, ibu bapa juga perlu bertindak sebagai perangsang perkembangan mental anak.  Ibu bapa semestinya  dapat melihat secara keseluruhan mengenai potensi anak-anak mereka.  Potensi yang ada dalam diri anak sepatutnya diserlahkan dan dikembangkan mengikut saluran yang betul dan diredai.  Bantu anak-anak mengenali bakat yang ada dalam diri mereka dan seterusnya memupuk bakat tersebut. Setiap bakat yang wujud dalam diri anak perlu diasah dan disuburkan pada setiap masa dan keadaan.
 
 Apabila ibu bapa dapat memainkan peranannya secara positif di rumah maka tugas guru disekolah dapat diringankan dan tidak ada berlaku kecelaruan fikiran di kalangan anak-anak.
 
 Pada peringkat sekolah, guru yang mengisi sebahagian daripada komposisi PIBG seharusnya berperanan sebagai ibu bapa yang mengambil berat setiap keperluan  dan kebajikan pelajar.  Oleh itu guru yang menjadi seorang pendidik yang benar-benar ‘berwatak pendidik’dengan menyerlahkan seluruh ciri kebudimanannya dan ‘kecikguannya’.  Kita berkeyakinan manusia suka dan selesa kepada sesiapa sahaja yang menampilkan sifat kasih sayang dan bersikap penyayang.  Justeru, sudah tentu pendidik yang bersikap dan bersifat penyayang adalah seorang yang lemah lembut tatkala mendidik dengan menganggap pelajar seperti anaknya.
 
 Oleh itu, guru tentu lebih menghargai anak didiknya kerana tiada ibu atau bapa yang gembira apabila melihat anaknya dimaki, dicerca dan dimarah tanpa usul periksa.  Seandainya tidak mahu melihat anak didera oleh sesiapa , setiap individu tentunya bertanggungjawab dan insaf betapa tiada haknya mereka mendera anak orang lain.
 
 Secara tidak langsung juga ia memperlihatkan usaha merealisasikan konsep sekolah penyayang yang dapat dihayati oleh pelajar.  Apa yang diharapkan pelajar sendiri bersyukur dan menghargai nilai peribadi dan personaliti gurunya yang memberi kasih sayang yang amat luas dan sesuai dalam setiap detik pengajaran dan pembelajarannya.
 
 Secara tidak langsung, guru menyediakan dunia pengajaran yang diwarnai dengan keseronokkan mengajar manakala pelajar menikmati dunia penuh cerita dalam pembelajaran meraka atau keseronokkan belajar.  Pendidik seharusnya menginsafi keterbatasan upayanya kerana sifat manusianya sendiri mesti dan wajar dimaklumi walaupun sebagai pendidik yang begitu kuat iltizam dan idealisme mempunyai jangkaan  matlamat yang berkeinginan untuk mencapai kecemerlangan.  Dengan keterbatasan ini tentu sukar untuk mengubah perlakuan dan sikap murid dalam waktu yang singkat, malah mungkin mengambil masa yang panjang. 
3.2  Membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar. 
      Ada yang memeranjatkan, sekaligus membimbangkan, mengenai hasil satu kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan.  Laporan kajian tersebut menjelaskan tentang penularan gangsterisme yang semakin berleluasa di sekolah-sekolah menengah seluruh negara sekarang.  Fakta kajian menunjukkan satu pertiga dari 1560 buah sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai-bagai kegiatan kongsi gelap.
 
Antara kegiatan berunsur ganas yang kerap berlaku di sekolah ialah mencuri, bergaduh, peras ugut, malah percubaan merogol.  Sejak sedekad kebelakangan ini kenakalan melampau ini sudah menjadi satu trend di kebanyakkan sekolah.  Hal ini telah sering kali dibangkitkan oleh guru-guru, juga selalu menjadi agenda utama dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). 
 
    Menurut Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohamad Ali Hassan berkata (B.H, 27 Julai 2001), dengan cabaran dunia tiada sempadan pelbagai elemen yang baik atau buruk bebas memasuki minda golongan muda sekiranya tidak disaring dengan teliti.
 
      Sehubungan dengan itu, katanya,  dengan benteng  kukuh yang dibina sejak kecil serta kawalan daripada semua pihak yang berfungsi membentuk insan bistari dan gemilang, tidak mudah bagi anak muda dipengaruhi anasir tidak sihat.  Beliau berkata, tanggungjawab itu bukan sahaja dipikul oleh ibu bapa malah anggota masyarakat dan kerajaan  untu menilai dan mengkaji kelemahan supaya dapat diperbaiki segera.
 
     Merujuk kepada isu Black Metal yang heboh diperkatakan  sekarang,  Mohamad Ali meminta semua PIBG dan ahlinya memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya membantu membenteras gejala itu  daripada terus merebak.  Beliau mencadangkan  supaya PIBG setiap sekolah menubuhkan  Majlis Pemuafakatan PIBG peringkat daerah supaya dapat memperluaskan kegiatan mereka. 
 
      Langkah penyelesaian atau pencegahan yang diambil terhadap ahli atau bekas kumpulan Black Metal perlu menekankan nilai positif bukannya bertindak menghukum. Tindakan tegas seperti membuang atau menggantung persekolahan hanya akan memberi tekanan kepada pelajar, sedangkan pada ketika itu mereka lebih memerlukan bimbingan dan kaunseling. 
3.3  Membantu pelajar miskin. 
     Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) akan mewujudkan bank data untuk menyenaraikan  palajar daripada keluarga miskin, sekaligus memudahkan proses menyalurkan bantuan kepada mereka.  Bank data itu bertujuan memudahkan proses khidmat kebajikan dan bantuan dihulurkan kepada belajar terbabit.  Pelajar yang tersenarai akan diberi bantuan sama ada dalam bentuk kewangan  dan perkhidmatan lain menerusi dana sumbangan  ahli korporat dan agensi kerajaan  yang disalurkan kepada persatuan berkenaan.  Perlaksanaan program ini memerlukan perbelanjaan yang besar, oleh itu diharapkan lebih ramai ahli korporat tampil untuk membantu menjayakan kegiatan sukarela berbentuk kebajikan ini. 
 
     Setiap PIBG peringkat sekolah disarankan menyediakan bank data sendiri dengan menyenaraikan semua pelajar miskin yang berhak dibantu.  PIBG patut menjadikan usaha membantu pelajar miskin ini sebagai satu daripada  agenda utama supaya  golongan ini dapat belajar dengan selesa sepertimana pelajar lain.  PIBG juga patut membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah  dengan memastikan mereka tersenarai  menerima buku menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). 
 
     Pada masa sama PIBG perlu beriktiar menganjurkan pelbagai majlis ilmu dan seminar motivasi kecemerlangan yang membabitkan pelajar daripada keluarga berkenaan.  Penyertaan dalam program ini akan memberi rangsangan  dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan persekolahan hingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan merangkul segulung ijazah.  Kejayaan ini sekaligus dapat membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan kerana kejayaan dalam bidang pendidikan memudahkan pelajar terbabit mencari pekerjaan. 
4.0  Perbincangan  
        Bagi sekolah berasrama penuh, masalah besar yang dihadapi dalam konteks PIBG biasanya tidaklah begitu serius.  Ini disebabkan ibu bapa tinggal jauh dari sekolah malahan di luar dari negeri tempat sekolah itu terletak.  Oleh sebab itu mesyuarat-mesyuarat dan kegiatan PIBG amat sukar dirancang dan sambutannya pun tidaklah begitu memuaskan.  Tetapi walaubagaimana pun, khasnya tiap-tiap ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru ataupun tiap-tiap penjaga murid-murid di sekolah menengah seperti ini mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dengan ibu bapa dan penjaga murid yang berada di sekolah harian.
 
 Kita sebetulnya harus realistik dalam hal ini kerana kita tidak mengharapkan supaya ibu bapa  menjadi pengajar mata pelajaran  akademik kepada anak-anak mereka di rumah.  Ini bukanlah zaman dahulu lagi iaitu pelajaran-pelajaran biasa dapat ditunjuk ajar oleh ibu bapa di rumah.  Oleh kerana kebanyakkan mata pelajaran sekarang adalah lebih sofistikated iaitu terlalu moden, hatta kepada ibu bapa yang bekerja sebagai guru sekalipun.  Oleh itu terpaksalah kita semua menerima hakikat kita tidak dapat menjadi “guru kedua” di rumah.  Malahan ada buruknya jika kita cuba mengajar anak-anak kita di rumah kerana umpamanya kaedah Matematik Moden adalah berbeza dengan kaedah “kira-kira” yang kita gunakan dahulu.  Jika kita cuba mengajar juga, ini akan menimbulkan kekecohan kepada pemikiran anak-anak.  Oleh itu tegasnya, tidak diharap ibu bapa mesti mengajar anak-anak dirumah.  Apa yang diharapkan hanya supaya ibu bapa  akan memberi dorongan, suasana atau iklim yang baik untuk pembelajaran di rumah. 
 
      Iklim ini tidak semestinya boleh menjelma di rumah keluarga yang kaya atau orang-orang yang berada sahaja. Pengajaran dan dorongan dapat juga diberi oleh ibu bapa yang sederhana atau miskin.  Umpamanya kita sedia maklum bahawa anak-anak melayu khasnya sangat senang putus asa, walau pun angan-angan mereka dan cita-cita mereka selalunya tinggi kadang-kadang “ala Mat Jenin”.  Oleh itu kajian yang dibuat dalam bidang pelajaran menyatakan dan mentafsirkan cita-cita yang tinggi itu sebagai “motivasi”yang kuat.  Tetapi itu tidak benar.  Memang benar budak-budak Melayu mempunyai cita-cita yang menggunung tinggi tetapi  tidak selalu disokong oleh hasrat bekerja keras dan kegigihan semangat yang besar untuk memenuhi cita-cita itu. 
 
 Ibu bapa seharusnya boleh memainkan pelbagai peranan dalam membentuk disiplin dan peribadi anak-anak.  Kecuaian ibu bapa untuk memahami peranannya yang sebenar menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidup yang penuh cabaran ini.  Sekiranya peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ibu bapa ini diabaikan maka jangan salahkan anak-anak apabila mereka memilih orang lain untuk dicontohi.
 
 
5.0  Penutup 
Persekitaran sosial mencabar guru dan institusi pendidikan dalam melahirkan insan yang bukan saja seimbang keperibadiannya tetapi juga menjadi teras dan aset kepada negara.  Pelajar dididik supaya berpakaian sopan dan tidak menjolok mata, tetapi keperibadian pelakon yang dipaparkan dalam drama bersiri Barat, berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata.  Ini tidak termasuk lagi adegan ganas, tahyul dan seks.  Sesetengah perlakuan pelakon dan penghibur idola sama ada dalam atau luar negara menjadi ikutan pelajar.   Justeru itu sokongan moral dan kerjasama daripada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan untuk membangunkan generasi yang lebih gagah dan berdaya tahan.
 
     Kesimpulannya kita memerlukan PIBG yang mantap organisasinya, sekaligus mempunyai pelan tindakan dan perancangan jangka panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul serta tepat kepada sasarannya.  PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut berwibawa serentak.  Dengan adanya pemimpin dan pengikut sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan.  PIBG seperti inilah yang boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah sekolah.
 
 
Rujukan. 
Abd. Jalil Ali (2000). Sulitnya menangani gejala gangsterisme di sekolah. Dewan
 
     Masyarakat. Mei . Kuala Lumpur: Dewan Masyarakat. ms.66.
Amir Hasan Dawi(2002).Penteorian sosiologi dan pendidikan. Edisi Kedua. 
    Tanjung Malim:Quantum Books.
Kamarudin Hj Kachar(1989). Kepimpinan profesional dalam pendidikan. Kuala 
    Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.
Kamus Dewan (1991). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mok Soon Sang (1995). Asas pendidikan 1 , pendidikan sebagai suatu proses. Kuala 
    Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Omar Mohd. Hashim (1993). Pendidikan: persoalan, penyelesaian dan harapan. 
   Kuala  Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zawawi Yahya(2000).PIBG tonggak masa depan pelajar.Berita Harian. 3 Mei.
Zawawi Yahya(2000).PIBG pelengkap usaha kerajaan.Berita Harian. 4 Mei.

Wednesday 8 February 2012

PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN (PERSATUAN IBU BAPA – GURU) 1998


AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA – GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)



Tujuan-tujuan Persatuan

a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;

b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;

c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;

d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan

e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran

Fungsi Persatuan

Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:

a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;

b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;

c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;

d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan

Keanggotaan Persatuan

Anggota Persatuan terdiri daripada:

a) semua guru di Sekolah;

b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan

c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan

Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.

Jawatankuasa Persatuan

Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.

Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.

Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:

a) seorang Yang Di-Pertua;

b) seorang Naib Yang Di-Pertua;

c) seorang Setiausaha;

d) seorang Bendahari; dan

e) .......... orang Ahli Jawatankuasa

Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.

Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.

Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.

Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.

Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.

Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.

Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.

Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.

Fungsi Jawatankuasa PIBG

Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

a) Yang Di-Pertua

i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.

ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.

iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.

iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.

v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.

vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.

vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.

viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.

b) Naib Yang Di-Pertua

i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.

ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .

c) Setiausaha

i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.

ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.

iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.

v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.

vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.

d) Bendahari

i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat berkenaan.

ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.

iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.

v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.

vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.

Lain-lain jawatan

Penasihat Persatuan

a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan.
Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;

i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;

ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;

iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;

iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;

v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;

vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;

vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan

viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.

b) Juru Audit Dalaman

i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.

ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:

aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan

ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Kuorum

Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:

a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan

b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.

Mesyuarat Agung Tahunan

Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.

Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.

Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.

Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.

Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;

a) ucapan Pengerusi;

b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;

c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;

d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;

e) membahaskan usul, jika ada;

f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;

g) pemilihan Juru Audit Dalaman;

h) ucapan penangguhan; dan

i)  lain-lain hal.

Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:

a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;

b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan

c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.

Mesyuarat Agung Tergempar

Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:

a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;

b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau

c) atas arahan Pendaftar.

Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.

Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.

Laporan Mesyuarat

Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.

Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.

Mesyuarat Jawatankuasa PIBG

Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.

Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.

Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.

Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.

Punca-Punca Pendapatan Persatuan

Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;

a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);

b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;

c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar

Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.

Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ........................ pada satu-satu masa.

Perbelanjaan wang Persatuan

Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.

Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.

Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.

Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.

Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan

Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.

Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.

Harta Amanah Persatuan

Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.

Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Pindaan Perlembagaan Persatuan

Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.

Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.

Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.

Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.

Larangan

Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.

Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.

Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.

Tafsiran

Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.

Pembubaran

Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:

a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau

b) Sekolah berhenti beroperasi

Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.

Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan dibubarkan.
 

Utusan Malaysia Online - Rencana

Utusan Malaysia Online - Rencana

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Monday 6 February 2012

AJK Pibg sesi 2011/2012


1.   DATIN HAJAH FARADED BINTI MOHD DOM

      Pengetua Cemerlang

      EX OFFICIO

2.   DR HAJI SANSUL BAHRI BIN  AHMAD
      YDP

3.   TUAN CIF INSP.  UMAR BIN OTHMAN
      NAIB YDP

4.    PUAN KAMALUNNISAK BT KASIM
       Setiausaha Kehormat

5.    PUAN ROHAIZA BINTI OMAR
       Bendahari Kehormat

6.    ENCIK MARZUKI BIN HAJI KECHIK
       AJK Guru

7.    PUAN LIM PEI CHING
       AJK Guru

8.    PUAN NOR ISMAWATI BINTI ISHAK
       AJK Guru

9.    PUAN WANITA A/P KRISNAN
       AJK Guru

10.  CIK  SALWA BINTI ABDULLAH
        AJK Guru

11.   ENCIK  LEE KONG POH
        AJK Ibu bapa

12.   IR MOHD ISA BIN IBRAHIM
        AJK Ibu bapa

13.   ENCIK MOHD BALKHIAH BIN  ABD RAHIM
        AJK Ibu bapa

14.   ENCIK MAHENDRAN A/L E.RASIAH
        AJK Ibu bapa

15.   ENCIK HASHIM BIN HARUN
        Pemeriksa Kira-kira

16.  CHELVI A/P NAVARATNAM
        Pemeriksa Kira-kira

Takwim Aktiviti PIBG SMKS2 2011/2012



BIL


AKTIVITI

TARIKH

1


Mesyuarat sebanyak 5 kali setahun



2


Mesyuarat Agung PIBG

14 Mei 2011

3


Jogathon

2 Julai  2011

4


Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat PMR & SPM 2011


Ogos  2011

5


Konsert Kilauan Bintang S2

9 September  2011

6


Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 10

24 Mac 2012